Assalamualaikum Bione,
Anda bermimpikan ibu memberi 2 rantai emas dan anda mengambil satu yang besar untuk dijual demi kewangan. Gambaran kasar yang terdapat dalam mimpi anda ialah ORANG iaitu ibu anda, dan gambaran kaar kedua ialah RANTAI EMAS. Kisah terperincinya, ibu BERI, anda PILIH YANG BESAR, niatnya untuk KEWANGAN.
ORANG adalah bahagian diri kita yang sifatnya serupa dengan orang yang dalam mimpi itu (rujuk tajuk MAKNA SIMBOL MIMPI). Untuk mentafsir mimpi tersebut, anda kena cari dahulu apakah sifat ibu anda yang ketara bagi anda, adakah sifat penyayangnya, atau garangnya, atau sifat berkorbannya, atau gigihnya dsb. Anda kena bayangkan perkara ini dahulu. Misalnya katalah sifat gigih ibu anda yang amat ketara bagi anda; maka IBU yang dalam mimpi tersebut bermaksud sifat gigih yang ada dalam diri anda. Jika sifat ibu yang ketara bagi anda adalah sifat berkorban, ini bermakna ibu yang dalam mimpi itu adalah sifat berkorban yang ada dalam diri anda sendiri. Sila pastikan dahulu bahagian ini. Pejam mata, bayangkan ibu anda di rumah, lihatlah dan rasalah, sifat apa yang menonjol dari ibu anda.
Rantai emas adalah suatu perhiasan yang berharga. Emas adalah warna bagi spiritual. Apabila ibu dalam mimpi menghulurkan rantai emas, ini bermaksud sifat yang diatas tadi menghulurkan suatu yang berharga untuk dijadikan perhiasan diri anda. Oleh kerana emas adalah warna spiritual, besar kemungkinan yang dihulur adalah doa atau sifat itu sendiri untuk dijadikan sebagai hiasan diri anda sendiri.
Apabila anda mengambil yang besar dengan niat untuk menjual bagi mendapat wang, anda menjadikan ia suatu perkara yang menambah keyakinan diri. WANG adalah simbol bagi ego manusia. Pada tahap selamat ia adalah keyakinan diri; pada tahap negatif ia menjadi kesombongan dan bangga diri. Saya percaya buat masa ini ia adalah untuk menambah keyakinan diri bagi Bione.
Sebagai rumusan, mimpi ini bermaksud anda telah mendapat suatu tahap keyakinan baru dalam diri anda. Bersyukurlah kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani.
Wallahua'lam.
AhliTafsirMimpi. 4/8/08
Peringatan bagi yang menghantar mimpi untuk ditafsir:
a) Sila berikan serba sedikit tentang latar belakang anda.
b) Cuba tafsir mimpi anda sendiri dengan menggunakan kaedah yang telah saya ajarkan, tuliskan jawapan / pendapat anda tersebut bersama mimpi yang diberi, dan akan saya bantu untuk menjadikannya lebih tepat sebagai jawapannya. Ini adalah latihan bagi anda.
c) Jawapan yang saya beri adalah berdasarkan maklumat yang ada. Anda lebih mengetahui apa yang anda sedang lalui dalam hidup anda yang menyebabkan anda mendapat mimpi tersebut. Jika jawapan saya 'make sense' , maka itulah tafsirannya.
d) Selepas mentafsir, tadbirlah hidup anda berdasarkan mimpi tersebut.
Terima kasih.
ATM
No comments:
Post a Comment